Azim
… I will never call you a man, and I will never call you a woman. But for me, you are an angle…
Azim lain dari kanak-kanak lain. Azim lebih suka duduk di rumah menemani ibunya dari bermain dengan anak-anak sebaya yang lain. Azim masih kecil. Anak berumur lima tahun itu masih mentah untuk mengenali susah senang kehidupan.
Rumah tepi sawah, dikelilingi dengan pohon mempelam, nyiur dan nona amat menenangkan Azim. Azim Cuma tinggal dengan ibunya. Azim tiada adik. Azim tiada abang. Ayah Azim berada di Penjara Alor Setar. Di tahan atas kesalahan mengambil dadah. Azim seringkali menangis terkenangkan ayahnya.
Pagi-pagi, Azim dikejutkan dengan kokokan Jantan, bapa ayam tua. Tandanya, Azim kena bangun. Ikut ibunya ke bendang. Ketika itu, Azim sepatutnya ke sekolah Tadika seperti anak-anak lain. Tapi Azim lain. Azim terpaksa bersama ibunya mengambil upah mencabut semai dan menanam semai di tapak bendang yang telah disediakan. Kehidupan mereka tak ubah kais pagi makan pagi.
“Bangcik, cepat sikit. Mak dah lambat dah ni. Nak pi petak Mak Melah.” Azim lekas mengisi alat mainannya ke dalam beg plastik. Sebuah kereta kecil berwarna biru yang tayar belakangnya tinggal satu, lastik bersama beberapa biji peluru, sebilah pisau patah dan upih pinang yang telah dibentuk menjadi sampan. Itulah mainan yang Azim ada.
Azim meniti batas-batas bendang perlahan-lahan dengan ibunya. Matanya meliar ke kiri dan kanan. Mana tahu kalau-kalau ada itik sesat bertelur, bolehlah diambil dan dijadikan lauk untuk petang nanti.
Sewaktu ibunya sedang sebuk mencabut semai dan diikat, Azim sibuk dengan mainannya. Sesekali Azim turut turun ke bendang dan sama-sama mencabut semai dengan ibu. Tapi kudrat Azim masih kering. Kerap berehat dari terus mencabut semai.
“Mak, bila ayah nak balik?” sesekali Azim bertanya.
“Ntahla, nanti esok lusa ayah balik la.” Ibu menjawab ringkas. Azim rindu. Azim teringin tidur di riba ayah. Azim teringin mengaji bersama-sama dengan ayah.
“Mak, nanti ayah balik, kita pi makan kat pekan na. Azim nak makan roti canai.” Ibunya terdiam. Ibunya tahu, dia tak mampu untuk membawa Azim ke Pekan Kangar. Pendapatannya cukup sekadar makan hari-hari. Nasib baik tidak perlu membayar bil air dan elektrik.
“Jom la kita pi makan. Pedih dah perut Mak ni.” Azim tidak membantah. Azim ikut ibunya ke bawah pokok tepi bendang yang redup. Disitulah tempat mereka melepaskan lelah.
Secawan kopi sejuk dan sepiring nasi goreng. Itulah santapan mereka. Ada kala, mereka cuma makan ubi kayu rebus, cicah dengan kelapa parut. Bukan sebab bertukar selera. Tapi, tiada makanan lain. Azim tak kisah. Asalkan perutnya kenyang.
Pernah satu ketika, Azim mengamuk mahukan nasi. Tapi, beras dah habis di rumah Azim. Ibu Azim tidak berduit untuk beli dikedai. Hutang? Siapa yang sanggup menghutangkan kepada golongan yang kais pagi makan pagi macam keluarga Azim. Dua tiga kali ibu Azim ke rumah Tok Long Darus. Tapi, Ibu Azim berat mulut untuk meminta sedikit beras. Akhirnya, ibu Azim memasak pulut bersama santan. Itulah santapan mereka.
Rumah Azim tidak jauh dengan rumah bapa saudaranya. Bapa saudaranya baik. Tetapi terlalu baik hinggakan isterinya, Mak Lang Nian bermaharaja lela. Mak Lang Niang bencikan kepada Azim dan ibunya. Semuanya gara-gara ibu Azim susah. Tidak berharta. Sekadar menumpang di tanah ayah yang sekangkang kera. Ibu selalu cerita, dulu ayah Azim antara orang yang berharta di kampung Sena Rendang. Tapi, semuanya dah habis melainkan tapak rumah dan serelung tanah bendang. Gara-gara ketagihan dadah. Ibu juga selalu cerita, kisah hidupnya sejak kecil hinggalah dia kawin dengan ayah.
Asalnya, ibu tinggal di Padang Sera, Kodiang Kedah. Ayah kepada ibu amat garang. Bahari namanya. Ibu cerita, Wan Bahari tidak pernah suka kepada ibu. Sebab, ibu anak sulung dan hasutan mak tiri. Sepatutnya anak sulung adalah lelaki. Ibu dianggap anak sial. Wan Bahari memperlakukan ibu seperti hamba. Mak ibu dah becerai dengan ayah ibu. Ayah ibu tidak benarkan mak ibu mengambil ibu. Bermula subuh hinggalah tengah malam, masa ibu hanya dipenuhi dengan bekerja walaupun masa itu umur ibu masih mentah. Ibu tidak pernah bersekolah. Pernah sekali, Wan Bahari memarahi ibu sebab terlambat mengangkut air di telaga. Habis satu kampung digeledahnya. Ibu bersembunyi di dusun buah di bukit berdekatan. Ibu takut dipukul. Ibu pernah mencuri makan sebab lapar. Wan Bahari kejam dengan ibu. Azim pun tidak suka dengan Wan Bahari.
Ibu sudah tidak tahan dengan penderitaan disebabkan oleh Wan Bahari dan bini barunya. Ibu nekad, ibu akan terima sekiranya ada sesiapa yang sudi melamarnya. Ibu mahu keluar dari kesengsaraan bersama Wan Bahari.
Ibu dipinang. Seorang teruna dari Kok Mak, Padang Besar Perlis. Ayah Hussin. Ketika itu, umur ibu baru 16 tahun. Ayah Hussin 22 tahun. Ibu terlepas dari kesengsaraan untuk seketika. Setelah berkahwin, ibu berpindah mengikut suaminya. Di sana, ibu masih bekerja mengusahakan sawah padi. Tapi, lebih selesa dari dulu. Ibu dan ayah Hussin dikurniakan seorang anak perempuan. Halimah namanya. Kakak Azim. Kini, ibu juga mula belajar menjadi suri rumah. Ibu belajar memasak. Ibu belajar menjahit.
Mertua ibu, seorang bidan kampung. Ibu turut diajar ilmu-ilmu perbidanan. Ibu pandai dalam usaha memudahkan bayi sulung lahir.
Jodoh ibu tak panjang. Ibu diceraikan atas sebab yang remeh. Ibu menjadi janda. Kakak Halimah tinggal dengan ayah Hussin. Sesekali ibu akan menjenguk kakak Halimah.
Ibu berkahwin dengan ayah dalam tahun 1976. Ibu terima ayah sebab ibu perlukan seseorang untuk menjadi pelindung. Tambahan pula, ibu perlukan tempat berteduh. Ibu tidak berharta. Semua harta Wan Bahari adalah untuk adik ibu, Chu Puteh.
Bersama dengan ayah tidak menjanjikan kebahagiaan untuk ibu. Ibu terpaksa membantu ayah dalam mengusahakan tanah bendang yang ada. Ibu tambah tertekan kerana ayah seorang penagih dadah. Azim tahu sejarah hidup ibu. Ibu sering bercerita.
1983. Ayah Azim dibebaskan. Azim seronok. Azim tak lepas-lepas bersama ayah. Kerinduan selama ini, terubat jua. Azim dah terlupa untuk mengajak ayah dan ibu ke pekan Kangar. Azim dah lupa dengan roti canai yang teringin dinikmatinya. Semuanya kerana ayah dah pulang. Mulanya, ayah rajin. Beban ibu dalam mencari nafkah menjadi ringan. Semuanya ayah yang lakukan.
Tahun depan, Azim akan mula bersekolah. Azim jadi takut. Azim tidak pernah bergaul dengan rakan-rakan yang sebaya dengannya.
Hari pertama kesekolah. Azim dihantar oleh ayahnya. Basikal tua itu bergerak perlahan meninggalkan rumah kecil tepi sawah menuju ke Sekolah Kebangsaan Sena Rendang yang letaknya lebih kurang satu kilometer. Sampai disekolah, Azim tidak mahu melepaskan tangan ayah. Azim jadi takut. Seolah-olah sekolah menjadi satu dunia yang asing bagi Azim. Azim mula menangis. Guru Besar, Cikgu hamzah, Cikgu Ramlah, Cikgu Hatun, Cikgu Midah, Cikgu Lebar, semuanya mengerumuni Azim. Semua memujuk Azim. Ada yang beri Azim gula-gula, ada yang beri Azim buku. Tapi semua tu tidak mengubah Azim. Malah Azim makin kuat menangis.
Ayah berkali-kali menarik telinga Azim. Dengan marah, akhirnya Azim dibawa pulang kerumah. Telinga Azim berdarah. Cuping telinga Azim sebelah kiri terkoyak. Ibu menangis dengan tindakan ayah.
“Ni bukan cara nak mengajar anak.” Ibu meluahkan apa yang terbuku sambil menitis air mata. Azim masih menangis teresak-esak.
“Keras kepala. Dah tak mau dengar cakap, kena la. Mah pulak la yang bawak dia pi.” Ayah berkata lembut.
Kini, ibu Azim pula menghantar Azim ke sekolah. Azim menangis lagi. Sampai disekolah, ibu berbincang dengan Cikgu Hatun, cikgu bagi kelas Azim. Ibu membawa Azim ke dalam bilik darjah. Azim duduk ditepi pintu masuk. Ibu Azim berada disebelah.
“Mak nak pi bilik ayaq sat. Bangcik tunggu mak tang ni.” Ibu bangun dan keluar. Azim mula menangis bila ibu hilang dari pandangan. Tangisannya reda bila ternampak saja kelibat ibunya yang melangkah kembali dari bilik air.
Dua hari ibunya terpaksa menunggu Azim di tepi kelas. Cikgu Hatun menyediakan kerusi untuk ibu dan emak-emak budak kelas Azim yang lain. Ibu korbankan masa tersebut semata-mata mahu melihat Azim belajar. Dua hari tersebut juga membuka minat ibu untuk belajar. Dua hari itu membuatkan ibu kenal ‘a’, ‘b’ dan ‘c’. Walaupun dah berusia, tapi ibu mahu boleh membaca. Ibu cepat belajar.
Azim antara murid yang cepat belajar. Ketika murid darjah satu yang lain masih belajar mengeja, Azim sudah pandai membaca dengan lancar. Cikgu Hatun juga membenarkan Azim meminjam buku cerita dari koleksi simpanannya.
“Ini anak rusa. Namanya Nani. Nani tinggal bersama-sama dengan ibunya didalam hutan…” Azim selalu membaca buku cerita tersebut dengan ibunya. Ibu Azim juga cekal belajar bersama-sama dengan Azim. Mungkin sebab ibulah, Azim bersemangat belajar.
“Minggu depan, LLN nak mai pasang elektrik. Kita kena bayar duit deposit saja.” Kata ayah pada suatu malam.
“Yeaa, lepas ni rumah kita terang la ayah. Boleh la kita beli tv. Tak yah kita pi rumah Mak Lang nak tengok TV.” Azim seronok. Azim teringin memetik suis lampu setiap petang.
Kini, rumah Azim dah terang. Setiap petang, pukul lima lagi Azim dah mula tutup tingkap. Semuanya gara-gara Azim nak cepat-cepat tekan suis lampu.
Rumah Azim pun dah mempunyai tv. TV hitam putih 14 inci pemberian atuk saudara Azim. Pukul lapan malam, selepas makan malam, Azim akan pergi mengaji Quran di rumah Mak Long Mbon. Jiran Azim. Azim cepat-cepat mengaji. Azim tak mahu terlepas menonton drama melayu yang disiarkan di RTM 1 bersama-sama dengan ibu dan ayah.
Belum habis darjah satu, Ayah Azim sekali lagi ditahan polis. Dihantar kepusat Pemulihan Dadah untuk tempoh lapan bulan. Bermula kembali zaman gelap Azim dan ibu. Azim masih ingat, ketika itu ibu sarat mengandung adik Azim. Alhamdulillah, hubungan ibu dengan Mak Lang Nian semakin baik. Semuanya bermula ketika Mak Lang Nian melahirkan sepupu Azim, Ridzuan. Ibulah siang malam menjaga makan minum Mak Lang. Ibulah yang menguruskan tungku Mak Lang dan ibulah yang membasuh kain lampin yang kotor. Ibu tidak pernah berdendam dengan Mak Lang.
Kakak Halimah pon sering datang tinggal bersama-sama dengan Azim. Kakak Halimah pun dah berhenti sekolah. Azim tak tahu mengapa. Tapi Kakak Halimah rajin. Azim sayang Kakak Halimah. Cuma ada kala Azim bergaduh juga dengan Kakak Halimah. Pernah, Azim melemparkan kelapa muda yang penuh dengan air semata-mata Azim tak mahu berkongsi dengan Kakak Halimah. Azim tahu, Kakak Halimah terkilan dengan perbuatan Azim.
Februari 1985, ibu dimasukkan ke hospital. Bidan Klinik Kesihatan Sena Rendang terpaksa menghantar ibu ke Hospital disebabkan ibu menghidapi Tekanan Darah Tinggi. Azim dan Kakak Halimah tinggal di rumah Mak Lang Nian. Walaupun hubungan keluarga Azim dengan Mak Lang Nian semakin baik, tapi, layanan Mak Lang Nian kepada Azim dan Kakak Halimah tak ubah seperti layanan kepada pengemis. Balik sekolah, Azim Cuma boleh makan sekiranya sepupu Azim yang lain dah makan. Kakak Halimah kena memasak disamping membasuh pakaian. Semuanya berlaku ketika ibu masih ditahan di Hospital Kangar.
Keluar saja hospital, ibu tinggal sementara di rumah Mak Lang Nian. Azim dan Kakak Halimah menceritakan segala apa yang mereka lalui selama ketiadaan ibu. Ibu bertahan beberapa hari sebelum membuat keputusan untuk pulang ke rumah sendiri.
Sepanjang ibu berpantang, Pak Lang selalu datang menghulurkan bantuan. Adik beradik ayah yang lain pun selalu datang meringankan beban kami. Ayah saudara ibu dari Padang Besar pun ada menjenguk.
Habis tempoh pantang ibu, Kakak Halimah balik ke rumahnya. Kini Kakak Halimah tinggal bersama dengan datuk dan nenek. Ayah Kakak Halimah menghilangkan diri setelah dicari polis berhubung dengan kes penyeludupan dadah. Dalam kes itu, seorang ditangkap dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Ayah Hussin sempat melarikan diri.
Azim kasihan melihat ibu. Ibu terpaksa bekerja mencari rezeki. Ibu terpaksa mengekang masa melihat makan minum anak-anak. Ibu tabah. Ibu kuat semangat. Azim tak mahu jadi macam ayah. Sikit demi sedikit, Azim memanamkan dalam jiwanya, apa guna jadi ayah kalau lebih pentingkan kehendak sendiri dan tanggung jawab kepada keluarga tidak mendapat keutamaan. Bila besar Azim tak mahu jadi seperti ayah. Azim tak mahu sakiti kaum ibu. Azim lebih sayangkan ibu dari ayah.
Saihasra SB 2009
…bersambung…


